Penduduk taman perumahan mewah disarankan mewujudkan pondok pengawal

Abdul Aziz (duduk tiga dari kanan) dan Norizan (duduk empat dari kanan) bersama ahli KRT dan SRS Tabuan Tranquality Fasa 4 ketika program pelancaran KRT dan SRS terbabit di Tabuan Tranquility.
Advertisement

KUCHING, Mac 18: Penduduk taman perumahan mewah di bandaraya ini disarankan mewujudkan pondok pengawal di jalan keluar masuk utama ke kawasan kejiranan mereka bagi mencegah dari dimasuki penjenayah.

Pembantu Khas Ahli Parlimen Stampin, Abdul Aziz Isa menyarankan demikian kerana penduduk taman perumahan terbabit berkemampuan mewujudkan pondok tersebut bagi menjaga keselamatan kejiranan masing-masing seperti yang dilakukan taman perumahan mewah di bandaraya lain di Semenanjung.

“Di Semenanjung, KRT (Kawasan Rukun Tetangga meminta kata sepakat dikalangan kejiranan mereka untuk membuat pondok pengawal dan kalau ada kereta masuk (ke taman perumahan) dia (pengawal) akan bertanya rumah mana dan alamat mana (yang dituju penguna kenderaan),” katanya ketika mewakili Ahli Parlimen Stampin dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen menghadiri Program Pelancaran KRT & Skim Rondaan Sukarela (SRS) Tabuan Tranquility Fasa 4 di Lorong 24F, Tabuan Tranquality, di sini, semalam.

Advertisement

Abdul Aziz malahan mendedahkan ada taman perumahan mewah di Damansara, Kuala Lumpur mengunakan teknologi canggih pada pondok pengawal terbabit yang boleh mengenalpasti kenderaan milik penduduk taman itu dan membantu membuka pagar yang dikawal pondok terbabit.

“Mungkin penduduk di Tabuan Tranquality ini yang saya rasa kebanyakan bukan kalangan golongan bawah 40 (golongan berpendapatan rendah) dan mampu; jadi kalau boleh kita bekerjasama mewujudkan pondok ini dan membayar pengawalnya gaji bulanan,” katanya dan yakin ini juga akan membantu SRS menjaga keselamatan taman perumahan itu.

Sementara itu, Pengerusi KRT Tabuan Tranquality Fasa 4, Norizan Jili berkata kawasan perumahan itu ada terlalu banyak jalan keluar masuk sehingga memudahkan penjenayah melakukan aktiviti mereka.

“Sekarang kami merancang mahu menutup beberapa jalan terbabit. Kami sudah berbincang dengan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan perlu sedikit lagi perbincangan dengan mereka bersama Unit Perancang Negeri (SPU) dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS),” katanya.

Sebelum ini KRT itu pernah menutup jalan keluar masuk terlibat tetapi tindakan itu mendapat tentangan ramai pihak dan kini jalan dibuka semula sementara pihaknya masih berbincang mengenai penutupannya dengan MBKS, SPU dan JTS.

“Ketika ini terlalu banyak jalan keluar masuk ke kawasan perumahan kami, jadi kami yang meronda sukar menangkap penjenayah, kalau (penjenayah) ditahan di (jalan) sini, mereka keluar dari (jalan) sana,” katanya.

Katanya penjenayah yang pernah ditangkap penduduk kawasan perumahan itu dan diserahkan kepada polis sebelum ini kebanyakan positif dadah dan mereka bukan bukan sahaja dari kawasan berdekatan tetapi ada juga dari Serian, Bau dan tempat jauh lain berdasarkan alamat kad pengenalan.

Norizan berkata selain menutup jalan keluar masuk pihaknya dalam jangka masa panjang juga bercadang supaya kenderaan milik penduduk kawasan perumahan itu dipasang pelekat bagi mudah dibezakan dengan kenderaan orang luar. — DayakDaily

Advertisement