‘Penduduk Sarawak semakin kecewa dengan kerajaan PH’

Dato Peter Minos

KUCHING, Ogos 9: Penduduk negeri ini semakin merasa kecewa dengan Pakatan Harapan (PH) kerana gagal menunaikan janji menurunkan harga barang dan perkhidmatan serta memberikan 20 peratus royalti minyak kepada Sarawak, kata pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Datuk Peter Minos.

Beliau berkata ini terutamanya mereka yang telah mengundi PH pada pilihanraya umum lepas kerana percaya PH akan menunaikan janji terbabit sekiranya diberi peluang menjadi kerajaan pusat.

“Namun, selepas pilihanraya umum, harga barangan dan perkhidmatan masih hampir sama sampai sekarang. Ianya juga kelihatan kerajaan pusat PH tidak akan membayar 20 peratus royalti bagi pengeluaran minyak dan gas ditemui di Sarawak,” katanya dalam kenyataan medianya di sini, hari ini.


Peter yang juga bekas pengerusi jawatankuasa publisiti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata disamping itu orang ramai di negeri ini juga mula merunggut dan mengadu tertipu setelah pendapatan mereka tidak berubah manakala harga barangan dan perkhidmatan tidak menurun dan terus menyukarkan hidup mereka terutama dari kumpulan berpendapatan rendah.

“Mereka (pengundi PH) merasa terpedaya dengan janji manis PH, dahulu. Mereka juga merasa sengsara kerana tepaksa menungggu lima tahun lagi bagi dapat mengubah semuanya,” katanya.

Katanya setakat ini seorang pemimpin tetinggi PH mendedahkan yang 20 peratus royalti minyak terbabit akan berdasarkan keuntungan Petronas tetapi sekiranya tiada keuntungan tahun ini, maka tiada keuntungan bagi dikongsikan dengan penduduk Sarawak.

Peter berkata pemimpin PH mungkin akan terus mengatakan benda bercanggah terhadap perkara terbabit namun semuanya bertujuan bagi mengelirukan dan mendapatkan alasan untuk tidak membayar royalti terbabit kepada Sarawak.