‘Penduduk Sarawak dapat menerima keputusan PRU14, tiada perasaan benci’

Dirwana (tengah) menyampaikan hadiah kepada peserta Program Sayangi MalaysiaKu Bersama Rukun Tetangga dan Pejabat Daerah Bau, di Dataran Bau, pekan Bau.

BAU, Sept 17: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak mendapati penduduk berbilang kaum negeri ini dapat menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas dan sehingga kini tidak ada terbawa-bawa perasaan benci atau bersikap anti-kerajaan pusat yang baharu.

Pengarah JPNIN Sarawak, Dirwana Azool berkata demikian berikutan pada pilihanraya umum terbabit telah menyaksikan kejutan dimana kerajaan pusat yang selama ini dibawah Barisan Nasional (BN) kini telah dibawah Pakatan Harapan (PH).

“Pada tahun ini kita melihat apabila kepimpinan negara berubah kepada PH, kita begitu bangga sekali (kerana) tidak ada pun perasaan benci, tidak ada perasaan yang anti-kerajaan baharu dan ini pertanda kita (penduduk Sarawak) memuji dan semua inginkan hidup yang sejahtera dalam komuniti,” katanya ketika merasmikan penutupan Program Sayangi MalaysiaKu Bersama Rukun Tetangga dan Pejabat Daerah Bau, di Dataran Bau, pekan Bau, di sini, hari ini.

Perasmian program terbabit yang dianjurkan JPNIN Bahagian Kuching dan Pejabat Daerah Bau itu juga dihadiri Residen Bahagian Kuching, Ismail Mohamad Hanis, Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam dan Pegawai JPNIN Bahagian Kuching, Abdul Rasid Mahsin.

Dirwana sehubungan itu meminta semua Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dibawah JPNIN di negeri ini selepas berakhirnya pilihanraya umum terbabit untuk berusaha meneruskan perhubungan baik diantara semua penduduk berbilang kaum negeri ini di peringkat akar umbi.

“Jika kita ada perhubungan baik di peringkat akar umbi, sudah pasti ia akan membuahkan hasil yang baik di peringkat negeri dan negara kita, jadi itulah tujuan dan matlamat kita mengadakan program pagi ini di Dataran
Bau ini,” katanya.

Beliau berkata sejak Ogos 1 lepas sehingga Sept 16 lepas, lebih 300 aktiviti telah dilaksanakan KRT di Sarawak berikutan fungsi utama KRT adalah untuk mempromosikan hubungan baik antara jiran dan komuniti dalam kawasan kediaman.

Katanya ketika ini di daerah Bau dan Lundu ada terdapat sebanyak 26 KRT manakala di bahagian Kuching ada 205 KRT yang bermakna lebih banyak lagi usaha dilakukan bagi menambah bilangan KRT di kedua-dua daerah dalam bahagian Kuching terbabit.

“Tahun ini, kita juga mensasarkan program KRT perlulah ditumpukan dalam kawasan kita. Jika dalam kawasan kita tidak dapat mewujudkan suasana baik, tidak mungkin kita dapat wujud suasana baik dalam hubungan lebih besar peringkat daerah dan negeri kita,” katanya.

Disamping itu, Dirwana berkata jika mahu menyayangi negara ini, kita sebagai rakyat Malaysia perlu menyayangi negeri dan penduduk dalam daerah kita dan juga semua komuniti dalam kawasan kejiranan kita. — DayakDaily