KUCHING, 10 Ogos: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah melaksanakan pelbagai projek perhutanan sosial berimpak tinggi bagi pembangunan penduduk luar bandar di Rh Manggat di Lubok Antu.
Pengarah JHS Datu Hamden Mohammad berkata, program seumpama itu bertujuan membantu penduduk-penduduk luar bandar terutama yang tinggal di Kawasan Hutan Simpan Kekal (PFE).
Katanya, ia melibatkan tinjauan dan survei komuniti untuk Karnival Non Timber Forest Product (NTFP) dan Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam.
“JHS juga melaksanakan kursus pertukangan kayu dan elektrik, pembinaan empangan mini bagi bekalan air paip graviti, penyelenggaraan rumah panjang di Rh Manggat.
“Turut dilaksanakan ialah projek pembinaan jeti dan ‘floating pontoon’ di Ulu Sungai Menyang Conservation Area,” katanya pada lawatan ke Rh Manggat di Ulu Sungai Menyang.
Pada lawatan tersebut, beliau yang mewakili Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh turut merasmikan sistem tagang.
Sistem tagang tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) dan Jabatan Pertanian Sarawak (DOA).
Hamden turut dibawa melawat ke beberapa sangkar dan lokasi perlaksanaan sistem tagang bagi melihat sendiri anak-anak ikan sebelum dilepaskan ke dalam sangkar-sangkar penternakan ikan yang disediakan. — DayakDaily