Penduduk Rh Anthony, Rantau Tapang kini nikmati kemudahan elektrik 24 jam

Projek SARES di Rh Anthony di Rantai Tapang, Mujok.

KUCHING, 11 Mei: Penduduk Rumah Anthony Bau di Rantau Tapang, Mujok di Julau kini menikmati kemudahan bekalan elektrik 24 jam di bawah Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).

Menurut laporan UKAS, kemudahan tersebut telah memberi kelegaan kepada penduduk 22 pintu rumah panjang tersebut sejak Disember 2020.

ADUN Meluan Rolland Duat berkata, pelaksanaan projek membawa perubahan besar kepada landskap pembangunan di penempatan yang terletak jauh di kawasan pedalaman.


“Kini penduduk Rumah Anthony merupakan salah satu daripada rumah panjang di Julau yang telah menikmati kemudahan SARES.

“Projek ini dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM60,000 untuk setiap pintu bilik rumah panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Bina Baru Titi Belian Rumah Anthony Bau yang dilaksanakan Jabatan Pengairan Dan Saliran Bahagian Sarikei.

Projek yang dilaksanakan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) itu dibina dengan peruntukan RM50,000 dan disiapkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Anthony secara gotong-royong.

Rh Anthony merupakan salah satu daripada 25 buah rumah panjang di Daerah Julau yang menikmati kemudahan SARES.

Selain itu, Rh Anthony juga telah menikmati perkhidmatan Wifi menggunakan VSAT.

Ia disediakan oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA) pada pertengahan Mac lalu dan terdapat 17 buah projek SMA di kawasan DUN Meluan. — DayakDaily