Penduduk Puncak Borneo berpendapatan rendah dipelawa memohon Bantuan Sara Hidup

Willie Mongin

KUCHING, Feb 17: Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin mempelawa semua penduduk berpendapatan rendah di kawasan diwakilinya untuk segera memohon Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 dari kerajaan pusat dan mengisi borangnya.

“Kepada semua warga Parlimen Puncak Borneo. Ingin dimaklumkan bahawa Borang permohonan BSH 2019 boleh didapati secara percuma di Pusat Khidmat Rakyat, Ahli Parlimen Puncak Borneo,” katanya dalam kenyataan medianya disiarkan dilaman Facebooknya semalam.

Willie berkata Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Puncak Borneo beralamat di No.8, Sinaruh Hill, Kampung Bratan, Batu 16, Jalan Puncak Borneo 93250 Kuching Sarawak.

Pusat tersebut juga menyediakan perkhidmatan mengisi borang untuk pemohon warga emas dan golongan buta huruf. Borang yang lengkap hendaklah dikembalikan sebelum Mac 15, 2019.

“Pemohon juga boleh memuat turun borang permohonan di portal rasmi BSH di https://bsh.hasil.gov.my. Permohonan juga boleh dibuat secara dalam talian di Portal Rasmi BSH,” katanya.

Katanya pada masa yang sama, proses pendaftaran dan pengemaskinian maklumat isi rumah terbabit perlu dilaksanakan bagi memastikan hanya isi rumah yang layak akan menerima BSH.

Willie berkata langkah tersebut penting bagi memastikan sumber negara digunakan dengan berhemah serta bersasaran kepada golongan B40 dan mengelakkan ketirisan bantuan kepada golongan yang berada.

Kementerian Kewangan Malaysia (KKM) sebelum ini mengumumkan bayaran BSH 2019 fasa kedua akan dilaksanakan Mei depan dan fasa ketiga pada Ogos depan.

Ini selepas BSH 2019 fasa pertama dengan bayaran RM300 kepada setiap isi rumah telah dilaksanakan pada Januari 28 lepas.

Ini membabitkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion yang dimanfaatkan kepada seramai 4 juta isi rumah.

Untuk menerima BSH 2019 selanjutnya dalam fasa kedua dan ketiga, pemohon yang layak perlu mendaftar dan mengemasikini maklumat isi rumah dan secara amnya isi rumah berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan adalah layak menerima BSH.

Tempoh pendaftaran BSH 2019 telah dibuka mulai Febuari 1 sehingga Mac 15, 2019. — DayakDaily