Polis cekup tiga individu disyaki edar dadah

Kelihatan dadah yang dirampas polis.

Oleh Dean Adam

BETONG, Feb 17: Dua lelaki dan seorang wanita diberkas selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Taman Goodland, malam semalam.

Serbuan kira-kira pukul 8 malam itu berjaya menahan ketiga-tiga suspek masing-masing berusia antara 24 hingga 39 tahun.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abd Latif berkata, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan menemui 53 paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 94.11 gram.

Katanya, polis juga menemui 9 papan plastik timah bewarna merah, yang setiap satu papan mengandungi 10 biji pil disyaki dadah jenis Erimin 5 seberat kasar 27.65gram.

“Hasil pemeriksaan badan yang dilakukan ke atas suspek telah menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat kasar 0.7gram.

“Polis turut menjumpai 2 paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal dsyaki dadah jenis syabu seberat kasar 0.5 gram daripada suspek,” katanya di sini hari ini.

Sahar menambah, siasatan awal mendapati mereka terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah bermula 2017 di kawasan sekitar Betong.

Katanya, hasil ujian air kencing juga mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Anggaran nilai rampasan keseluruhan dadah ialah sebanyak RM16,996.50, manakala nilai sitaan Toyota Hilux dan tiga cincin dianggarkan bernilai RM127,339.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952,” katanya. — DayakDaily