Penduduk luar bandar digesa mendaftar sebagai pengundi

Dr Abdul Rahman Junaidi (tengah) merasmikan program Jom Daftar anjuran Pergerakkan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Santubong .
Advertisement

SANTUBONG, Jan 7: Penduduk luar bandar negeri ini yang belum mendaftar sebagai pengundi diminta segera mendaftarkan diri mereka sebelum Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) tahun ini.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik Luar Bandar) Dr Abdul Rahman Junaidi berkata demikian berikutan pilihanraya umum tersebut kemungkinan akan diadakan dalam tempoh tiga atau empat bulan yang akan datang dan mereka akan sempat mengundi sekiranya mendaftar sebagai pengundi baharu awal tahun ini.

“Sehubungan itu saya menyeru penduduk luar bandar termasuk di DUN Pantai Damai terutamanya golongan belia supaya segera mendaftar sebagai pengundi bagi pilihanraya umum akan datang yang kemungkinan diadakan dalam tempoh tiga atau empat bulan lagi,” katanya ketika merasmikan program Jom Daftar anjuran Pergerakkan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Santubong di Dewan Masyarakat Kampung Santubong, di sini, semalam.

Advertisement

Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata ketika ini keseluruhannya ada seramai 18,350 pengundi berdaftar di DUN Pantai Damai manakala seramai 16,240 penduduk kawasan itu ialah ahli PBB.

Beliau berkata adalah penting mendaftar menjadi pengundi sebelum pilihanraya supaya penduduk negeri ini tidak menghadapi sebarang masalah ketika hari pembuangan undi dan nama mereka ada tersenarai sebagai pengundi berdaftar di pusat mengundi.

“Ini kerana sebelum ini pernah berlaku, seorang individu membuat kekecohan pada hari mengundi dan menyatakan beliau tidak mencari namanya dan akhirnya setelah disiasat didapati yang individu terbabit tidak pernah mendaftar,” katanya.

Disamping itu, Malaysia mengamalkan demokrasi yang membolehkan setiap penduduk negara ini untuk mengundi parti pilihan mereka bagi mentadbir negara dan negeri ini dan pihaknya berharap program terbabit akan membolehkan penduduk luar bandar DUN Pantai Damai mendaftar sebagai pengundi bagi pilihanraya umum akan datang dan mendaftar juga menjadi ahli PBB. — DayakDaily

Advertisement