Penduduk Kota Samarahan digesa kembali menanam buah limau manis

Gawai Dayak celebration (file photo)
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, Julai 7: Penduduk kawasan Parlimen Kota Samarahan disarankan kembali menanam buah limau manis sebagai tanaman utama mereka kerana harganya pasarannya yang lebih menguntungkan dari tanaman lain termasuk kelapa sawit.

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang berkata demikian dengan ketika ini harga limau itu di pasaran sekitar RM5 hingga RM7 sekilogram dan boleh lebih mahal sekiranya rasa buah tersebut lebih manis dan seterusnya boleh mengkayakan penanamnya.

“Kita (penduduk Kota Samarahan) juga pernah mengalami zaman kegemilangan dengan tanaman buah limau (manis) selain koko dan kelapa suatu ketika dahulu sehingga boleh memenuhkan sebuah bot dengan buah limau itu bagi dihantar ke Muara Tuang dan menjualnya pada harga 50 sen sehinga RM1 sekilogram,”katanya ketika merasmikan majlis Berambeh Gawai Raya Pejabat Residen dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Bersama Komuniti di Dewan Masyarakat Kampung Mang, di sini, hari ini.

Advertisement

Majlis terbabit juga dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang, Pengerusi MPKS, Dato Peter Minos dan Residen Bahagian Samarahan, Ibrahim Lumpu.

Rubiah (tengah) menyediakan hidangan masakan sebagai simbolik merasmikan majlis Berambeh Gawai Raya Pejabat Residen dan MPKS Bersama Komuniti di Dewan Masyarakat Kampung Mang.

Rubiah Wang berkata ketika ini semakin kurang penduduk Kota Samarahan yang masih menanam buah limau sedangkan harganya yang baik dan penanamannya lebih menguntungkan berbanding tanaman lain.

“Ini kerana selama ini penduduk Kota Samarahan telah memfokus kepada penanaman kelapa sawit tanpa mengira harganya manakala tanaman lain yang lebih menguntungkan telah kita tinggalkan seperti buah limau,” katanya.

Sehubungan itu, Rubiah di majlis terbabit mengumumkan peruntukannya sebanyak RM50,000 bagi belia di Kota Samarahan menjalankan projek pertanian di kawasan tanah terbiar mengunakan teknologi moden termasuk bagi menanam limau manis.

“Saya juga bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi menaiktaraf jalan kubur Kampung Mang termasuk membina tempat letak kenderaan supaya menjadi lebih selesa dilalui penduduk kampung,”katanya.

Sebelum itu, Idris juga mengumumkan peruntukannya sebanyak RM50,000 bagi menjalankan program kepada belia kawasan terbabit menceburi kegiatan pertanian moden dan tidak terlalu mengharapkan mendapat pekerjaan dalam sektor awam. — DayakDaily

Advertisement