Penduduk Kampung Bukit Berangan mahu pihak berkuasa ambil tindakan

Simpang jalan Kampung Bukit Berangan yang dibanjiri air dari paip air bawah tanah yang pecah dan bocor hari ini.

KOTA SAMARAHAN, 20 Jun: Penduduk Kampung Bukit Berangan di sini meminta pihak berkuasa memindahkan paip air bawah tanah yang kerap pecah dan bocor di simpang jalan kampung mereka.

Ini kerana paip air bawah tanah terbabit pecah dan bocor lagi hari ini sehingga menyebabkan simpang jalan kampung itu dari Jalan Datuk Mohammad Musa telah dibanjiri air dan menyebabkan kesesakkan sekitar kawasan terbabit.

Sekumpulan penduduk kampung itu yang tidak mahu dikenali berkata paip air bawah tanah terbabit dipercayai pecah dan bocor sejak tengah malam tadi dan kejadian itu sudah lima kali berulang akibat tanah yang bergegar kuat apabila kenderaan berat melalui simpang jalan itu.


“Jadi, paip air bawah tanah terbabit sebolehnya dipindahkan pihak berkuasa berkaitan ke tempat lain bagi mengelakkannya terus berulang kali pecah dan bocor.

“Ini kerana simpang jalan ini kerap dilalui lori dengan muatan berat termasuk dari kuari berhampiran,” menurut salah seorang penduduk kampung itu.

Beliau khuatir sekiranya paip itu pecah dan bocor lagi, penduduk kampung terbabit akan sekali lagi mengalami gangguan atau terputus bekalan air sehinggalah kebocoran terbabit dapat diperbaiki pihak berkuasa.

“Selain itu, kami khuatir kenderaan yang melalui simpang kampung ini akan terbabit dalam kemalangan kerana  memperlahankan secara kenderaan mengejut bagi mengharungi jalan yang dibanjir air walaupun cuaca tidak hujan,” katanya.

Katanya kerajaan negeri juga memperuntukkan wang yang banyak bagi membekalkan air kepada rakyat luar bandar negeri ini dan berharap peruntukkan terbabit juga bagi memindahkan paip air bawah tanah di simpang kampung mereka itu ke tempat lain. -DayakDaily

Kerja membaiki paip air bawah tanah yang pecah dan bocor di simpang jalan Kampung Bukit Berangan hari ini.