Penduduk di Seduku dan Stumbin Bijat nikmati bekalan air terawat

Struktur sokongan keluli untuk paip baharu siap dipasang.

KUCHING, 9 Ogos: Lebih 7,500 penduduk di kawasan Agropolitan Seduku dan Stumbin Bijat kini telah menikmati bekalan air terawat.

Kementerian Utiliti menerusi satu kenyataan semalam berkata, ini hasil usaha kerajaan menerusi projek pembinaan saluran paip baharu yang bernilai sekitar RM1.4 juta yang siap dilaksanakan pada penghujung tahun 2019.

“Atas perancangan rapi dan teliti oleh pihak kerajaan Sarawak, Loji Rawatan Air Agropolitan Seduku dan Loji Rawatan Air Stumbin Bijat kini telah disambung dan menerima bekalan air tambahan dari Loji Rawatan Air Bayai, Sri Aman.


“Ini adalah untuk memastikan penduduk setempat sentiasa mendapat bekalan air yang berkualiti secara berterusan,” katanya.

Menurut kenyataan itu,Ā  skop projek ini melibatkan pemasangan saluran paip jenis HDPE bersaiz 400mm sepanjang 2km di jajaran alternatif untuk menggantikan paip sedia ada di kawasan berlakunya hakisan tanah di tebingan Batang Lupar, Jalan Skait-Gran Ring.

Projek telah sekaligus berjaya untuk menangani masalah gangguan bekalan air di kawasan berkenaan. -DayakDaily