Kerajaan Sarawak beri subsidi RM150 juta setahun kepada pengguna air di kawasan luar bandar

Julaihi (tengah) pada sidang media di Kuching.

Oleh Chris Bishop

Kerajaan Sarawak beri subsidi RM150 juta setahun kepada pengguna air di kawasan luar bandar

KUCHING, 7 Feb: Kerajaan Sarawak memberi subsidi sebanyak RM150 juta setahun kepada pengguna-pengguna air terawat di kawasan luar bandar, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.


Menurut beliau, ia adalah satu bentuk subsidi yang tinggi jika dibandingkan dengan kos pengeluaran dan caj yang dikenakan kepada pengguna.

“Saya ambil contoh pada tahun 2020 di mana kos pengeluaran air bagi satu meter padu (m3) ialah RM1.28 dan pada tahun 2021 ialah RM1.58.

“Tetapi caj bayaran yang dikenakan kepada pengguna adalah RM0.44 sahaja dan ini bermakna bahawa kadar subsidi itu adalah tinggi iaitu RM0.84 untuk 1m3 air terawat.

“Maknanya secara keseluruhan setahun, kerajaan Sarawak memberi subsidi sebanyak RM150 juta kepada pengguna air di kawasan luar bandar yang di bawah seliaan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa lawatan ke Pejabat JBALB di sini, hari ini.

Tambah Julaihi, subsidi yang tinggi itu menunjukkan keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam membekalkan air terawat kepada penduduknya.

Katanya, JBALB kini terus membuat perancangan penting supaya penduduk di bahagian selatan, tengah dan utara Sarawak akan mendapat bekalan air bersih yang mencukupi.

Kerajaan Sarawak katanya lagi telah menyediakan peruntukan besar bernilai sekitar RM4 bilion bagi pelaksanaan 328 Projek Rakyat Bekalan Air.

Ini melibatkan pelaksanaan projek-projek yang membabitkan sumber air mentah, loji rawatan, sistem agihan, kerja menambahbaik, penukaran paip, serta inisiatif pemodenan dan pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (SAWAS).

“Setakat ini, sebanyak 187 projek telah siap dilaksanakan dengan kos bernilai sekitar RM625 juta, manakala 119 projek kini dalam fasa pembinaan dengan jumlah peruntukan bernilai RM2.87 bilion.

“Selain itu, 11 projek dengan kos bernilal sekitar RM8.8 juta kini dalam fasa untuk ditender, manakala 11 projek masih dalam fasa perancangan yang melibatkan kos bernilai sekitar RM366 juta,” ujar Julaihi.

Turut hadir Menteri Muda Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang dan Menteri Muda Utiliti Datuk Abdul Rahman Junaidi. — DayakDaily