Penduduk Balai Ringin gempar penemuan mayat hampir reput

Keadaan mangsa yang dihempap oleh motosikalnya.

SERIAN, Ogos 19: Penduduk di Balai Ringin gempar dengan penemuan mayat lelaki yang hampir reput di bangunan lama Dewan Salcra Melikin di sini semalam.

Mayat mangsa yang belum diketahui identitinya ditemui olehnpenyelia syarikat Kimlun Pan Borneo kira-kira pukul 3 petang.

Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata, ketika ditemui mayat mangsa dalam keadaan terikat dan dihempap oleh motosikalnya.


Katanya, kepala mangsa juga ditutup dengan kain hitam semasa dijumpai.

“Sepasukan anggota polis telah ke lokasi penemuan mayat lelaki tersebut untuk melakukan siasatan awal.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serian untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Aswandy menambah, polis juga mohon bantuan orang awam yang ada kehilangan ahli keluarga agar tampil membuat laporan.

Ujarnya, proses pengecaman mangsa boleh dilakukan sebaik ada pihak atau individu yang tampil untuk membantu siasatan.

“Buat masa ini, polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut,” katanya. — DayakDaily