Pendaki gunung tahan sakit lebih tujuh jam, patah kaki akibat terjatuh

Anggota bomba berusaha membawa mangsa turun dari Gunung Sebua.
Advertisement

BAU, Mac 4: Seorang pendaki gunung terpaksa menahan kesakitan lebih tujuh jam apabila dia patah kaki dan cedera pada dadanya selepas terjatuh ke dalam curam di Gunung Sebua di Kampung Skiat di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Sim Lian Yung, 52, terjatuh selepas mengelak ketulan batu yang mengelongsor ke arahnya.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 10.25 pagi.

Advertisement

Jelasnya, sebaik menerima panggilan kecemasan itu, seramai 30 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau, Unit Multi Skill Team (MUST Team) serta Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa.

“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk mendaki ke kawasan curam tempat mangsa terjatuh.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati mangsa dalam keadaan kesakitan dan patah kakinya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong memberitahu, selepas memberi rawatan kecemasan, mangsa serta 15 rakan pendaki gunung yang lain kemudian dibawa turun ke kaki gunung.

Katanya, pasukan bomba menghadapi kesukaran untuk membawa mangsa turun disebabkan keadaan curam.

“Namun, hasil kecekalan anggota bomba, mangsa akhirnya berjaya dibawa turun dengan selamat.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.30 petang selepas mangsa dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya lagi. ā€” DayakDaily

Advertisement