Pendaftaran PADU di Sarawak ditangguhkan — Abdul Karim

Abdul Karim (tiga kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Kursus Pentadbiran Sukan.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Mac: Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yakin pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di Sarawak ditangguhkan sementara.

Katanya, ia tidak diberhentikan tetapi ditangguh sehingga notis selanjutnya.


“Kita ada membincangkan perkara ini pada mesyuarat kabinet negeri pada Khamis lepas.

“Jadi susulan daripada itu saya percaya Setiausaha Kerajaan Negeri kemungkinan ada mengeluarkan arahan tertentu.

“Ia bukan untuk memberhentikan sepenuhnya, tetapi kemungkinan untuk menangguhkan sementara program PADU di Sarawak,” katanya ketika ditemui selesai penutupan Kursus Pentadbiran Sukan di Kuching hari ini.

Sementara itu, Kementerian Ekonomi akan mengadakan perjumpaan bersama kerajaan Sarawak pada minggu hadapan berhubung pendaftaran Sistem PADU.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, pertemuan itu susulan pengeluaran arahan supaya pendaftaran PADU melibatkan kakitangan dan pegawai kerajaan negeri Sarawak ditangguhkan.

Semalam Abdul Karim berkata, mendaftar dengan PADU ibarat ‘menelanjangkan diri’ apabila mendedahkan semua butiran peribadi individu termasuk akaun bank, hartanah dan pelaburan.

Beliau berpendapat ia bukan cara yang betul untuk rakyat kerana semua mempunyai hak untuk menjaga privasi.

“Kita sudah ada sistem e-Kasih yang diadakan bagi mengenalpasti golongan miskin yang memerlukan bantuan, jadi apa keperluan adanya PADU pula?” katanya. — DayakDaily