Pendaftaran Lesen Vokasional (PSV – Teksi/E-hailing) bermula April 1

Road Transport Department logo (sourced from www.jpj.gov.my)

KUCHING, Mac 27: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) memaklumkan bahawa pemandu atau bakal pemandu perkhidmatan teksi/e-hailing yang memenuhi syarat memohon Lesen Vokasional (PSV – Teksi/E-hailing) boleh mendaftar bermula April 1, 2019.

Menurut satu kenyataan akhbar dari Ibu Pejabat JPJ Putrajaya hari ini, pemandu atau bakal pemandu perkhidmatan Teksi/e-hailing yang memenuhi syarat memohon boleh mendaftar di Institut Memandu dan Pusat Latihan Memandu E-hailing Operator (eHO) yang diiktiraf oleh JPJ. Modul latihan Lesen Vokasional (PSV – Teksi/E-hailing) yang terlibat adalah selama 6 jam dengan kadar yuran siling yang ditetapkan oleh kerajaan sebanyak RM200.00.

“Pelaksanaan ini adalah melibatkan pemandu dan kenderaan e-hailing yang bertindak sebagai kenderaan perkhidmatan awam. Dalam hubungan ini, pemandu kenderaan perkhidmatan e-hailing adalah setara dengan pemandu kenderaan perkhidmatan Teksi/ Kereta Sewa / Teksi Mewah.


“Oleh yang demikian, mana-mana pemandu atau bakal pemandu perkhidmatan e-hailing hendaklah memiliki Lesen Vokasional (PSV – Teksi/E-hailing) seperti mana yang diperuntukan di bawah Seksyen 56, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987),” jelas JPJ.

Jelas kenyataan tersebut, bentuk fizikal lesen vokasional yang baharu akan dikeluarkan dan dicetak untuk pemandu yang berjaya dilesenkan.

“Pemandu teksi sedia ada yang telah dilesenkan dengan Lesen Vokasional (PSV – Teksi) akan dikemaskini kepada bentuk fizikal baharu semasa pemegang lesen memandu membuat pembaharuan Lesen Vokasional (PSV),” jelas JPJ.

Sementara itu, JPJ berkata, kenderaan yang digunakan sebagai kenderaan perkhidmatan e-hailing yang usianya kurang daripada 3 tahun hendaklah menjalani proses tukar kegunaan dari Kenderaan Persendirian Individu kepada Kenderaan Persendirian e-hailing. Perkara ini adalah selari dengan peruntukan di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 12(3) dan Seksyen 12(4) APJ 1987.

Permohonan boleh dikemukakan oleh pemandu e-hailing atau pembawa dokumen di mana-mana Pejabat JPJ Negeri dan Cawangan di seluruh Malaysia kecuali UTC bermula April 1, 2019.

Proses ini mengkehendaki pemohon untuk melampirkan beberapa dokumen sokongan seperti: borang JPJK8 (Pind.1/2016) – Borang Pindaan/Pembetulan Butir Kenderaan dan Pemilik Berdaftar Seksyen 12 APJ 1987; borang Pengisytiharan Kenderaan Persendirian e-hailing (JPJ-EH1); maklumat Laporan Pemeriksaan Berkala PUSPAKOM (VR1) yang berkuatkuasa bagi kenderaan yang telah mencapai had usia tiga (3) tahun dari tarikh pendaftaran; borang Pengesahan e-hailing (Electronic Vehicle Permit – eVP); dan kategori kenderaan yang dibenarkan adalah jenis Motorkar, Jip, Van, Kenderaan Pelbagai Utiliti dan Pick-Up (bagi Sabah dan Sarawak sahaja).

Bagi kadar fi LKM kenderaan persendirian e-hailing pula adalah masih kekal seperti kenderaan persendirian individu iaitu mengikut kuasa enjin (cc) kenderaan, termasuk Sabah dan Sarawak. Walaubagaimanapun, sebarang perubahan kadar fi akan dimaklumkan oleh pihak Kerajaan dari semasa ke semasa.

Semua kenderaan persendirian e-hailing perlu melekatkan pelekat khas kenderaan e-hailing yang akan dikeluarkan oleh pihak EHO seperti garis panduan yang telah ditetapkan oleh JPJ.

Selain itu, bagi kenderaan yang telah mencapai usia 3 tahun dan ke atas dari tarikh pendaftaran hendaklah menjalani Pemeriksaan Awalan Terpakai di PUSPAKOM terlebih dahulu sebelum melakukan penukaran kod kegunaan di JPJ.

Pemeriksaan PUSPAKOM boleh dilakukan di 54 Cawangan PUSPAKOM diseluruh negara dan 8 mobile bergerak PUSPAKOM yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan bagi kenderaan e-hailing. — DayakDaily