ADUN Murum menyampaikan bantuan untuk mangsa kebakaran Uma Bawang

Kennedy (baju biru) melihat sendiri keadaan Uma Bawang yang terbakar.

oleh Peter Sibon

KUCHING, April 17: Ahli Dewan Undangan Negeri Murum Kennedy Chukpai Ugon semalam telah memberi sumbangan berupa wang tunai serta barang-barang keperluan kepada 44 keluarga yang tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran di Uma Bawang, Sungai Asap, Belaga kelmarin.

Menurut beliau, setiap keluarga telah diperuntukkan sebanyak RM1,000 dan barang-barang keperluan asas.


“Untuk membantu mereka yang mengalami musibah kebakaran ini, saya telah menyalurkan bantuan awal sebanyak RM44,000 untuk 44 keluarga iaitu RM1,000 bagi setiap keluarga untuk membeli keperluan peribadi mereka serta meringankan beban mereka,” kata Kennedy setelah menziarahi mangsa semalam.

Keadaan Uma Bawang yang termusnah dijilat api.
Kennedy (lima kiri) memberi sumbangan wang tunai kepada Maren Uma (ketua kaum Uma Bawang) Duren Lihan.

Beliau menambah, bantuan susulan akan disalurkan kepada semua mangsa musibah setelah menerima laporan lengkap dalam masa terdekat.

“Dengan kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Sarawak yang memberi bantuan awal dalam bentuk perkakas dapur, makanan dan lain-lain keperluan harian bernilai RM38,000.

“Terima kasih juga kepada Pasukan Bomba dan Penyelamat Bintulu yang turut membantu menghantar bantuan ini,” jelas beliau.

Kennedy juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang turun padang membantu mangsa kebakaran tersebut seperti Sarawak Energy Berhad, kakitangan SK Batu Keling dan SK Uma Sambop, Bakun Lake Native Association (BLNA), Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), PKKS Cawangan Bintulu, Orang Ulu National Association (OUNA) dan pihak swasta.

Barangan keperluan sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Sarawak dalam bentuk perkakas dapur, makanan dan lain-lain keperluan harian bernilai RM38,000 kepada mangsa-mangsa kebakaran.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus memadam kebakaran semalam.

“Kiranya kasih Tuhan memberkati kita semua dan semoga Tuhan memberi kekuatan dan penghiburan kepada saudara saudari kita di Uma Bawang,” kata beliau.

Sementara itu, beliau berkata mangsa-mangsa kebakaran kini menumpang bersama saudara-mara.

Kennedy berkata beliau akan berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada pihak-pihak tertentu untuk membina semula rumah panjang yang musnah. — DayakDaily