Penantian penduduk Kampung Temedak miliki surau akhirnya tercapai

Dr Abdul Rahman (enam dari kiri) melawat bangunan surau Kampung Temedak.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 8: Penantian penduduk Kampung Temedak untuk memiliki surau sendiri akhirnya bakal menjadi realiti apabila bangunan surau berkenaan siap hujung tahun ini.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, surau yang dibina menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) itu menelan kos sebanyak RM500,000.

Jelasnya, surau berkenaan akan memberi manfaat kepada kira-kira 400 umat di Kampung Temedak selepas ia siap kelak.

“Bagaimanapun, setakat ini proses kerja-kerja pembinaan surau berkenaan ialah 65 peratus,” katanya semasa melawat projek pembinaan Kampung Temedak di sini hari ini.

Dr Abdul Rahman menambah, sebelum ini penduduk kampung berkenaan terpaksa menumpang surau atau masjid di kampung berhampiran untuk bersembahyang.

Sementara itu, beliau juga meluangkan masa melawat dewan baharu Kampung Temenggong yang dibina dengan kos sebanyak RM300,000.

“Dewan kampung ini memang ditunggu-tunggu oleh penduduk setempat untuk menjalankan aktiviti keramaian.

“Peruntukan untuk pembinaan dewan ini turut menggunakan dana RTP daripada kerajaan negeri,” katanya. — DayakDaily