Enam mangsa terbaharu ‘Macau scam’, dan seorang mangsa ‘parcel scam’ di Sarawak, libatkan kerugian RM69,310

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 8: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak semalam menerima 12 laporan terbaharu berhubung sindiket penipuan ‘Macau scam’ dan ‘parcel scam’.

Ketua JSJK Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, daripada 12 laporan diterima, tujuh mangsa telah ditipu dan mengalami kerugian sebanyak RM69,310.


Jelasnya, kes terbabit dilaporkan di Miri iaitu melibatkan empat kes, Sibu (2 kes) dan Kuching (1 kes).

“Jumlah kerugian tertinggi melibatkan seorang pelayan restoran di Miri dengan jumlah kerugian sebanyak RM22,200, diikuti kes melibatkan kerani di Sibu berjumlah RM21,600.

“Seterusnya, mangsa lain mengalami kerugian masing-masing sebanyak RM7,000, RM3,350, RM6,900, RM3,760 dan RM4,500,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mustafa menambah, berdasarkan laporan diterima, enam mangsa telah terpedaya dengan sindiket ‘Macau scam’ dan seorang mangsa tertipu oleh ‘parcel scam’.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat di negeri ini supaya berhati-hati dan tidak melayan panggilan daripada individu tidak dikenali bagi mengelak menjadi mangsa penipuan sindiket ‘Macau scam’.

“Selepas menerima panggilan itu, suspek akan mendakwa mangsa kononnya terbabit dengan jenayah dan suspek kemudian meminta mangsa memindahkan sejumlah wang ke akaun pihak ketiga.

“Modus operandi sindiket ini ialah menyamar sebagai pegawai bank, pegawai mahkamah, polis dan agensi lain melalui panggilan telefon untuk memperdaya mangsa,” jelasnya. — DayakDaily