KUCHING, 9 Sept: Persatuan Anak Seni Iban Malaysia (PASIMA) meminta pemuzik dan pencipta lagu Iban di Sarawak menghasilkan lebih banyak lagu Iban berkualiti yang boleh dipasarkan melalui internet.
Presidennya, Marvyn Tajem berkata demikian kerana ketika ini pasaran lagu terbabit sudah lebih meluas setelah orang ramai memuat turun lagu ciptaan mereka dengan mudah mengunakan internet.
“Malahan kami juga turut bercadang mengadakan satu acara menerangkan kepada pemuzik dan pencipta lagu (Iban) kerana memuat turun lagu (dari internet) ini perkara baru dalam senario kita di sini,”katanya ketika merasmikan pelancaran Album Kompilasi ” Bujang Keling Sarawak” di MK Smokehouse, Batu Kawa, di sini, semalam.
Selain itu, Marvyan Tajem juga mahu mereka berusaha menjadi lebih kreatif mengeluarkan album Iban terutama kepada artis baharu kerana ketika ini semakin ramai mampu mengeluarkan album itu mengunakan teknologi perisian muzik.
“Di era teknologi informasi ini, kita (pemuzik dan pencipta lagu Iban) boleh menghasilkan lagu sendiri, merekodkannya di rumah atau bilik sendiri dan memasarkannya mengunakan perisian di internet,” katanya.
Beliau berkata bagi meningkatkan kualiti album Iban di pasaran dan mencungkil bakat baharu, pihaknya mengalakkan persatuan tempatan, premis hiburan atau individu berkemampuan menganjurkan pertandingan nyanyian lagu Iban. — DayakDaily