Pemulih beri diskaun bil elektrik 5 hingga 40 peratus untuk 3 bulan mulai Julai

Lightbulb. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 28 Jun: Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bil elektrik antara 5 hingga 40 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 900 kilowatt jam sebulan.

Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, diskaun sebanyak 40 peratus akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt jam sebulan, manakala diskaun 15 peratus diberi bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt jam sebulan.

“Secara keseluruhan, rakyat akan mendapat diskaun berjumlah RM346 juta dan diskaun ini akan berkuatkuasa bagi tempoh tiga bulan mulai bil bulan Julai 2021,’katanya pada pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) hari ini.


Selain itu, tambah Muhyiddin, sektor-sektor ekonomi turut diberikan lanjutan tiga bulan lagi diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi bil bulan Oktober hingga Disember 2021.

Katanya, ia melibatkan pengendali hotel, taman-taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.

Jelas Muhyiddin, kerajaan menanggung kos tambahan sebanyak RM1 bilion melalui pemberian diskaun elektrik kepada pengguna domestik dan bukan domestik ini. — DayakDaily