Brad Rantayy
MIRI, 6 Jan: Seorang pemuda ditahan polis petang Selasa di Niah selepas disyaki mencederakan bapa kandungnya sendiri menggunakan sebatang kayu.
Kejadian berlaku selepas mangsa, 51, menolak permintaan suspek untuk mendapatkan sejumlah wang.
Berang selepas bapanya enggan memenuhi permintaan tersebut, suspek berusia 27 tahun itu tiba-tiba “naik minyak” lalu memukul mangsa menggunakan sebatang kayu di pergelangan tangan dan dada pada petang Isnin di sebuah rumah panjang di Niah.
Susulan kejadian, mangsa telah tampil membuat satu laporan polis.
Difahamkan, ini bukan kali pertama suspek mencederakan bapanya.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, tangkapan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ)IPD Miri bersama unit Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Batu Niah sekitar jam 6.30pm pada Selasa.
Semasa tangkapan, pihak polis terpaksa menggunakan kekerasan yang maksimun kerana suspek bertindak agresif.
Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.
Turut dirampas bersama suspek adalah sebatang kauu disyaki telah digunakan dalam kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. — DayakDaily