KUCHING, Jun 10: Prihatin terhadap mereka yang kurang bernasib baik, pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) Samariang membawa 60 anak yatim dan asnaf dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang membeli pakaian dan kasut baharu sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri akan datang.
Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 60 orang anak yatim dan asnaf itu menerusi program yang diadakan di Pusat Membeli Belah Boulevard di sini hari ini.
Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof turut hadir meraikan golongan tersebut.
Menurutnya, program itu antara aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pemuda PBB Samariang dalam membantu meringankan beban anak yatim dan miskin yang terpilih dari DUN Samariang.
Katanya, program itu juga bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim di antara pergerakan Pemuda PBB dengan anak-anak yatim serta asnaf.
“Moga bantuan yang diberikan ini dapat menceriakan kanak-kanak berkenaan dalam menyambut kedatangan Aidilfitri.
“Menerusi program ini, kita juga dapat menyantuni anak-anak yatim dan asnaf dalam membeli pakaian raya mereka,” katanya di sini hari ini.
Fadillah menambah, program yang menjadi acara tahunan itu amat menitikberatkan golongan yang memerlukan bantuan.
Katanya, ia terutama terhadap anak yatim dan miskin yang kurang mendapat perhatian daripada masyarakat luar.
“Kami mahukan anak-anak yatim dan anak asnaf menyambut hari raya dengan meriah.
“Semoga bantuan ini dapat menggembirakan mereka untuk Aidilfitri yang bakal tiba,” ujarnya lagi. — DayakDaily