NGO perlu sesuaikan diri dengan perubahan semasa, kata Len Talif

Len Talif (kiri) menyampaikan geran kepada wakil NGO.

SARIKEI, Jun 10: Pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini perlu proaktif dalam menganjurkan program-program untuk menarik minat golongan muda.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh berkata, semua NGO harus menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

Katanya, penyesuaian itu penting dengan memainkan peranan lebih proaktif sekali gus membawa manfaat kepada pembangunan negeri ini pada masa depan.


“Peranan NGO diiktiraf dalam membawa kepada pembangunan di negeri ini yang mana tidak terhad kepada peranan tradisi mereka semata-mata.

“NGO boleh dijadikan contoh dalam usaha meningkatkan taraf hidup golongan muda dengan melakukan perkongsian unik bagi membantu mereka mendapatkan maklumat terkini,” katanya dalam majlis penyampaian geran kepada NGO di sini.

Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang menambah, NGO juga perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan hubungan antara kaum kekal harmoni.

Jelasnya, pertubuhan seumpamanya itu perlu bergerak aktif dengan memperkasakan masyarakat dalam pelbagai aspek termasuk kebajikan, pendidikan, ekonomi dan sosial.

“Saya juga berharap NGO dapat merancang pelbagai aktiviti demi kebaikan dan manfaat semua pihak,” ujarnya.

Sebanyak tujuh NGO yelah menerima geran Projek Luar Bandar (MRP) sebanyak RM28,480 daripada Pusat Khidmat Wakil Rakyat ADUN Kuala Rajang. — DayakDaily