KUCHING, 7 April: Pergerakan Pemuda PBB menyambut baik sokongan moral yang dilafazkan Bersatu ke arah memastikan kemenangan besar GPS dalam PRN12 akan datang.
Namun, Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memberi peringatan supaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak campur tangan dalam jentera parti ketika pilihan raya.
Selain itu, Pemuda PBB yakin bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menjadi pilihan utama rakyat Sarawak dalam PRN12 nanti.
“Ini berasaskan prestasi, pencapaian dan polisi Kerajaan pimpinan GPS yang sentiasa mengutama dan mementingkan rakyat.
“Pemuda PBB juga yakin GPS akan bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Sarawak dan diberikan mandat sekali lagi oleh rakyat untuk terus menerajui negeri ini,” menurut Pemuda PBB dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Pemuda PBB juga akan terus berdiri teguh menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Katanya, Pemuda PBB menyokong penuh kenyataan Abang Johari selaku Pengerusi GPS dalam menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menjamin kestabilan negara.
“Kebijaksanaan pucuk kepimpinan Muhyiddin di peringkat pusat dan Abang Johari di peringkat Negeri telah membolehkan kita menangani isu pandemik Covid-19 dengan berkesan melalui pendekatan prihatin rakyat,” katanya. — DayakDaily