Pemuda PBB Asajaya sambut baik calon muda sebagai calon PRU15

Syahrizzal Arfandi Adam

KUCHING, 18 Julai: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Asajaya menyambut baik pengumuman Naib Presiden Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berhubung meletakkan calon muda dalam PRU15 nanti.

Ketuanya Syahrizzal Arfandi Adam berkata, ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana PRU12 lepas ramai calon muka baharu berumur awal 30 tahun telah diberi peluang.

“Calon muda ini seterusnya memenangi kerusi DUN yang dipertandingkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Antara calon muda tambah Syahrizzal ialah Adun Tanjung Datu Azizul Anuar Adenan, Adun Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor dan Adun Telian Royston Valentine yang masing-masing mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).

Menurut beliau lagi, buat masa ini GPS mempunyai seorang Ahli Parlimen muda dibawah umur 40 tahun iaitu Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni.

Lukanisman terpilih sebagai calon pada PRU14 tahun 2018 dan pada ketika itu masih berusia sekitar 34 tahun.

“Kita percaya bahawa pelibatan lebih ramai golongan muda sebagai penggubal undang-undang sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri atau Parlimen diperlukan.

“Ini kerana keterlibatan mereka membolehkan dasar-dasar kerajaan yang bersifat mesra semua golongan khususnya golongan muda dan belia dapat dibentuk dengan baik,” ujar beliau.

Tambah Syahrizzal, Kerajaan Sarawak dicadangkan menyediakan platform untuk melatih serta membentuk gaya kepimpinan berkualiti kepada golongan muda di Sarawak.

Ini dilaksanakan menerusi kewujudan Sidang Dewan Belia Sarawak serta Program Mentor-Mentee Kepimpinan Sarawak sepertimana pelaksanaan Parlimen Belia dan Program Felo Perdana di peringkat Persekutuan. — DayakDaily