Pemuda Pas Sarawak desak reformasi pada kabinet persekutuan

Hamdan Sani

KUCHING, Jan 5: Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak mendesak agar dilakukan reformasi terhadap kabinet menteri kerajaan persekutuan sedia ada.

Ketuanya Hamdan Sani mengharap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menambahkan ketelitian dalam melantik menteri-menteri.

“Ini adalah supaya mereka lebih bekerja demi kesejahteraan rakyat, sesuai dengan elaun puluhan ribu dan tersedianya kereta mewah.


“Manakala rakyat pula ada yang berhimpit di dalam bas dan LRT untuk ke tempat kerja,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Pemuda Pas Sarawak menurut Hamdan lagi mahukan perdana menteri menyiasat terlebih dahulu latar belakang calon-calon menteri kabinet.

Perkara itu, katanya, untuk mengelakkan penipuan kelayakan akademik selaras dengan usaha pihak kerajaan meningkatkan nilai integriti pada setiap peringkat pentadbirannya.

“Harapan kami adalah untuk melihat kerajaan membina kabinet daripada kalangan teknokrat, kementerian kewangan dipegang oleh orang yang berkelayakan dalam bidang kewangan.

“Kementerian pertahanan ditadbir oleh mantan Panglima TDM, TUDM atau TLDM, kementerian perpaduan diuruskan oleh tokoh perpaduan masyarakat,” katanya.

Berhubung perletakan jawatan Menteri Pendidikan, Dr Mazslee Malik, beliau berharap penggantinya akan berkhidmat dengan lebih cemerlang.

Tambah beliau, menteri pendidikan yang baharu harus sanggup untuk duduk semeja bersama mantan-mantan Menteri Pendidikan demi memastikan agenda pendidikan nasional dapat diperbaiki dan sentiasa menjadi keutamaan pihak kerajaan. — DayakDaily