Pemuda mengamuk acu pisau terhadap ibu kandung, ditahan polis

Suspek (tiga dari kiri) ditahan pihak polis petang semalam (12 Okt 2021).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 13 Okt: Seorang pemuda berusia 24 tahun di Tudan Desaras Fasa 6 mengamuk dan mengacukan sebilah pisau pemotong daging terhadap ibu kandungnya setelah permintaannya untuk sejumlah wang ditolak pada pagi Selasa (12 Oktober).

Tindakan pemuda itu membawa padah, apabila dia ditahan pihak polis untuk tindakan lanjut pada hari yang sama beberapa jam kemudian oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri susulan laporan daripada mangsa.

Difahamkan, dalam kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 8 pagi itu di sebuah rumah di Tudan Desaras, suspek secara tiba-tiba ‘naik minyak’ dan mengacukan sebilah pisau pemotong daging berukuran 24cm ke arah ibunya, menyebabkan mangsa berusia 51 tahun itu bersama ahli keluarganya yang lain bertempiaran lari keluar menyelamatkan diri.

Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kerana suspek berang apabila dinasihati bunya untuk mencari kerja apabila dia meminta sejumlah wang pada hari kejadian.

Susulan kejadian, pihak polis telah menahan suspek sekitar jam 5.30 petang hari yang sama di kediaman ibunya di Tudan Desaras dan merampas sebilah pisau pemotong daging disyaki digunakan dalam kejadian.

Ketua polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. ā€” DayakDaily