Oleh Dean Adam
SIBU, Dis 9: Seorang pemuda menemui ajal setelah motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan di Jalan Paradom di sini hari ini.
Kejadian kira-kira 5.30 pagi itu telah mengakibatkan mangsa, Muhammad Herdy Shah Sue’gile, 21, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, kejadian malang itu dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa dikatakan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
Katanya, situasi berkenaan telah mengakibatkan berlakunya pertembungan antara motosikal mangsa dan sebuah kereta Proton Saga.
“Siasatan mendapati kereta Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 53 tahun itu sedang dalam perjalanan ke pusat bandar Sibu dari arah Bintangor.
“Manakala, motosikal yang ditunggang mangsa pula datang dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Alexson menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. ā DayakDaily