Pemuda disangka kera maut terkena tembakan di Kg Kejapil

Mayat seorang lelaki ditemui tersangkut di pokok buah terap dalam sebuah kebun di Kampung Kejapil tengahari ini (9 Sept 2021) selepas terkena tembakan.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 9 Sept: Seorang lelaki yang disangka kera maut selepas terkena tembakan pemilik sebuah kebun di Kampung Kejapil, Bekenu di sini tengahari tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, si mati yang mana identitinya masih belum dikenal pasti telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


“Mayat mangsa ditemui tersangkut di atas pokok buah terap, dan beberapa anggota polis dari Balai Polis Bekenu dan Miri telah bergegas ke lokasi sejurus dimaklumkan mengenai kejadian untuk menurunkan mayat,” ujar Hakemal.

Selepas hampir tiga jam, mayat mangsa akhirnya diturunkan sekitar jam 4.45 petang tadi dari pokok setinggi 32 kaki itu.

Tambah Hakemal, siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Seorang suspek berusia sekitar 70-an telah ditahan untuk membantu siasatan lanjut berhubung kejadian,” jelas beliau.

Selaras senapang patah turut dirampas untuk siasatan lanjut. — DayakDaily