Pemuda dilaporkan hilang selepas 3 hari tidak balik rumah 

Mangsa yang dilaporkan hilang.

Oleh Dean Adam

SARATOK, Feb 8: Seorang pemuda dilaporkan hilang selepas dikatakan tidak balik ke rumah panjang di Nanga Budu, Krian, sejak Selasa lepas.

Mangsa yang dilaporkan gagal dikesan sejak tiga hari lalu dikenalpasti sebagai Duncan Leslie, 26.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihak bomba menerima laporan dari Balai Polis Saratok untuk membantu mengesan mangsa pada pukul 5.31 petang semalam.

Katanya, berdasarkan maklumat diterima, ibu saudara mangsa yang risau tentang keselamatan anak buahnya tidak pulang ke rumah, telah membuat laporan polis pada pukul 11.35 pagi semalam.

“Operasi pencarian dibuat dengan mendapatkan maklumat lengkap tentang kehilangan mangsa di rumah panjang tersebut.

“Maklumat daripada saksi, iaitu rakan yang bersama mangsa, memaklumkan lelaki itu dalam keadaan mabuk terus berlari ke arah jalan raya di kawasan Pejabat Jabatan Pendaftaran Nanga Budu pada 6 Februari kira-kira pukul 5 petang,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, mangsa yang ketika itu berbaju t-shirt berwarna hitam dan berseluar pendek warna coklat, disangkakan kawannya akan balik ke rumah.

Bagaimanapun katanya, mangsa tidak balik ke rumah sehingga sekarang.

“Operasi pencarian kini ialah sejauh 3 kilometer dari kawasan simpang Nanga Budu dan mangsa belum lagi ditemui setakat ini,” katanya. — DayakDaily