KUCHING, 24 Mei: Seramai tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan lingkungan umur 38 tahun sehingga 49 tahun dikompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu ‘dine-in’ di sebuah premis café dan bistro di Jalan Song, Kuching sekitar jam 3.15 petang Sabtu (22 Mei).
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata pemilik premis juga antara yang dikompaun kerana membenarkan pelanggannya ‘dine-in’ di premis tersebut.
Jelasnya pemilik premis dikompaun RM10,000, manakala tiga pelanggan masing-masing RM2,000.
“Walaupun angka kes positif Covid-19 semakin meningkat dari hari ke hari. Masih ada segelintir masyarakat yang masih memandang ringan dan memperjudikan nyawa mereka dengan melanggar SOP yang ditetapkan.
“Sehubungan dengan itu, pihak PDRM khususnya di Kuching telah mengambil tindakan lebih proaktif dan tegas tanpa berkompromi terhadap individu yang gagal mematuhi SOP PKPB digariskan oleh kerajaan bagi membendung penularan Covid-19,” tegas Merbin dalam satu kenyataan semalam hari ini.
Beliau turut memberitahu, dalam tempoh seminggu bermula dari 17 hingga 22 Mei, sebanyak 70 kompaun telah dikeluarkan terhadap individu yang gagal mematuhi SOP PKPB yang telah ditetapkan.
Antara kesalahan yang dikompaun ialah gagal mengimbas (‘scan’) My Sejahtera atau mencatit butiran diri sebelum memasuki premis, tiada penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka ditempat awam.
“Kesemua pemeriksaan ini dijalankan di sekitar bandaraya Kuching dan daripada jumlah besar tersebut, seramai 52 orang adalah lelaki manakala selebihnya 18 orang adalah wanita.
“Sepanjang tempoh tersebut, 22 laporan pemeriksaan telah dilakukan iaitu ke atas premis kedai makanan dan minuman serta kawasan-kawasan terbuka tumpuan awam disekitar bandaraya Kuching,” katanya.
Menurutnya juga, kompaun yang dikeluarkan adalah di bawah pelbagai kesalahan Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) No.4 2021.
Kompaun tersebut perlulah dijelaskan di Pejabat Kesihatan daerah (PKD) dalam tempoh 14 hari dari tarikh bermula kompaun dikeluarkan. — DayakDaily