Bomba usaha selamatkan ikan paus terdampar di Pantai Kuala Baram

Pasukan Bomba berusaha menolak ikan paus tersebut ke laut.

MIRI, 23 Mei: Seekor ikan paus sepanjang kira-kira empat meter ditemui terdampar di tepi pantai Kuala Baram, di sini sekitar jam 4.15 petang hari ini.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Zon Miri Law Poh Kiong berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng terus ke lokasi ikan tersebut untuk tugas-tugas menyelamat.

Jelasnya, melihat keadaan ikan tersebut yang masih bernyawa, anggota bomba bertungkus lumus menolak ikan tersebut ke laut.


“Bagaimanapun, usaha tersebut mulanya tidak berjaya disebabkan ombak besar dan ikan paus tersebut tidak mahu bergerak ke laut juga kerana setiap kali ditolak ke laut, ikan tersebut akan berenang kembali ke pantai.

“Anggaran panjang ikan tersebut adalah 3 hingga 4 meter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pasukan Bomba berusaha menolak ikan paus tersebut ke laut.

Law turut menambah, pemerhatian ke atas badan ikan tersebut didapati banyak kecederaan.

“Setakat ini, pasukan Bomba Lopeng masih di pantai memerhati keadaan ikan berkenaan dan diharap dia berjaya berenang keluar ke laut dalam,” katanya. — DayakDaily