Pemilik akaun ‘Iqbal Ismail’ disaman Polis Trafik

Tangkapan skrin video yang tular d Facebook.

KUCHING, 27 Jun: Gara-gara muatnaik video bermotosikal tanpa topi keledar menyebabkan pemilik akaun Facebook ‘Iqbal Ismail’ disaman Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kuching.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata saman dikeluarkan selepas siasatan mendapati lokasi video berdurasi 55 saat itu dirakam adalah di kawasan perumahan Cenderawasih, Petra Jaya.

Jelasnya, video lelaki berpakaian seperti wanita tersebut dikatakan dirakam pada bulan April dan dimuatnaik ke Facebook pada 24 Jun pukul 7 petang.

“Bertindak atas maklumat, BSPT IPD Kuching telah mengesan suspek melalui nombor pendaftaran motosikal yang digunakan dan seterusnya suspek diarahkan serah diri bersama motosikal serta pakaian yang dipakai di dalam video tersebut.

“Suspek (lelaki), berumur 29 tahun itu, kemudian dikompuan atas dua kesalahan di bawah Seksyen 29 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada lesen memandu dan kesalahan kaerah-kaedah lalulintas 4 LN43/73 kerana tidak memakai topi keledar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahsmon turut memberitahu suspek juga disiasat di bawah Seksyen 17(1) PPPPB 2021 kerana didapati tidak mematuhi SOP PKP 3.0.

“Kes masih dalam siasatan dan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily