Pembukaan sub-sektor di Lembah Klang, semua diminta patuhi SOP — Nanta

Business, jobs and trade. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 12 Sept: Semua yang terlibat dalam pembukaan semula sub-sektor dan aktiviti tambahan dalam peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya berkuatkuasa 10 September 2021 diseru mematuhi semua prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang telah ditetapkan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, semua diminta memberi kerjasama bagi memastikan mereka, ahli keluarga dan pekerja mereka telah menerima vaksin.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi menegaskan ia demi menjaga kesihatan, rakyat serta kelangsungan perniagaan.

“Kerajaan telah bersetuju untuk membenarkan peralihan ke Fasa 2 bagi kawasan Lembah Klang iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan KualaLumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya berkuatkuasa 10 September 2021.

“Ini juga memberikan kemudahan tambahan kepada penerima vaksin lengkap bagi aktiviti-aktiviti di bawah sektor perdagangan pengedaran di negeri-negeri Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 PPN bagi membantu pemulihan sektor peruncitan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara senarai sub-sektor dan aktiviti-aktiviti tambahan yang dibenarkan beroperasi semula dengan syarat vaksinasi lengkap dibawah PPN berfasa adalah kedai pakaian, fesyen dan aksesori termasuk kasut, selipar, beg, topi, stoking, jam dan lain-lain, serta kedai bunga dan nurseri, kedai aktiviti luar termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain.

Turut dibenarkan dibuka adalah pusat pengedaran dan jualan kenderaan, kedai gunting dan dandanan rambut serta pusat kecantikan, kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi.

Menurut Nanta, kementeriannya akan terus memastikan semua Pegawai Penguatkuasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari.

Katanya, ini bagi memastikan kesemua sektor di bawah sektor perdagangan pengedaran, pemborongan dan peruncitan tidak memberi kesan kepada penularan semula wabak Covid-19 di negara ini. — DayakDaily