Polis pantau kenderaan laju di kampung susulan air banjir bergelombang melimpah

Dua anggota polis memberi nasihat kepada pengguna jalan raya agar menjaga had laju semasa memandu di kawasan kampung.

MARUDI,12 Sept: Sebilangan penduduk kampung membuat laporan polis akibat beberapa buah kenderaan yang memandu dengan laju serta merempuh air banjir sehingga menyebabkan gelombang kuat sehingga air masuk ke beberapa kediaman.

Sehubungan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi dikerahan untuk membuat pemantauan di beberapa kampung terjejas akibat banjir dari jam 3 hingga 6 petang semalam.

Menurut kenyataan IPD Marudi, operasi pemantauan tersebut dilakukan di Jalan Nahkoda Abang Matasim, Kampung Dagang dan Kampung Narum.


“Pihak polis menerima aduan orang awam berkenaan kenderaan yang dipandu laju dalam kawasan kampung menyebabkan kocakan air dan arus air banjir bergelombang masuk ke dalam beberapa buah rumah.

“Tindakan polis adalah memberi amaran, nasihat dan peringatan kepada pengendali kenderaan dan pengguna jalanraya agar membawa kenderaan mengikut had laju yang minimal dan mematuhi undang-undang lalulintas,” katanya.

Tambahnya, ia juga bertujuan untuk menjaga sensitiviti semua pihak yang terkesan dengan bencana banjir ini.

Operasi tersebut diketuai Inspektor Visvanathan dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Marudi dan Inspektor Roslan dari Bahagian Ketenteraman Awam IPD Marudi. — DayakDaily