Myvi langgar Persona, semua selamat di Bintangor

Keadaan Perodua Myvi yang terbalik dalam kemalangan tersebut.

BINTANGOR, 12 Sept: Dua buah kereta dilaporkan terbabas selepas berlaku perlanggaran di Jalan Bintangor-Sarikei, dekat sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian berlaku pada jam 8.27 pagi dan beberapa anggota dari Balai Bomba Bintangor terus ke lokasi kejadian.

“Komander melaporkan kemalangan melibatkan dua buah kereta yang masing-masing bergerak menghala ke Sarikei.

“Difahamkan kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Myvi telah melanggar belakang kereta Proton Persona sehingga menyebabkan kedua-duanya terbabas ke tepi jalan dan parit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kesemua pemandu dan penumpang kedua-dua kereta dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Mangsa kemudian diberikan rawatan kecemasan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Punca kemalangan masih dalam siasatan polis. — DayakDaily