Pembukaan premis Bistro dekat Muzium Petroleum bakal menjadi daya tarikan pengunjung

Ting (dua dari kiri) bersama jurutera projek bergambar bersama selepas mengadakan lawatan ringkas meninjau projek pemasangan lampu jalan di kawasan Muzium Petroleum Sarawak di Bukit Kanada Miri.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 29 Mac: Suasana persekitaran Muzium Petroleum Sarawak di Bukit Kanada Miri bakal kembali ‘hidup’ semula dengan pembukaan premis Bistro tidak lama lagi.

Perkara ini dijelaskan Menteri Muda Perlancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew hari ini selepas mengadakan lawatan ringkas ke perkarangan Muzium Petroleum bagi meninjau perjalanan projek pemasangan 16 unit lampu jalan di kawasan tersebut.


“Kontrak (bagi pembukaan Bistro) tersebut kita telah berikan kepada pengusaha yang layak untuk proses perlaksanaan,” jelasnya.

Beliau yakin, dengan adanya premis itu nanti, ia akan menjadi daya tarikan pengunjung untuk berkunjung ke kawasan tersebut.

“Muzium Petroleum merupakan salah satu lokasi popular dikalangan masyakarat tempatan dan pengunjung luar, dan saya yakin, dengan mewujudkan premis seperti Bistro dan lain-lain tarikan, pengunjung tidak akan melepaskan peluang untuk datang ke sini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Piasau.

Muzium Petroleum di Bukit Kanada.

Sebanyak 16 tiang lampu yang menelankan kos sebanyak RM80,000 sedang giat dipasang disekitar kawasan Muzium Petroleum ini dan dijangka siap pertengahan bulan Mei nanti.

Projek ini dilaksanakan dibawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2020 Adun Piasau.

Beberapa kawasan tanah lapang yang berada di kawasan itu juga akan turut dimajukan bagi merancakkan sektor perlancongan daerah ini. — DayakDaily