Pembinaan ‘Rock Revetment Wall’ dicadangkan sepanjang Pantai Lutong

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin ditemui wartawan selepas mengadakan lawatan melihat proses pembinaan benteng hakisan di Pantai Lutong

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 2 Feb: Baki benteng sepanjang 140 meter yang sedang giat dibina di sepanjang pantai Lutong dijangka siap dalam tempoh dua minggu ini bagi mengatasi masalah hakisan pantai di kawasan tersebut, jelas Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin.

Menggalas tangungjawab menyiapkan kerja-kerja pembinaan benteng yang berbaki sepanjang 140 meter itu ialah Jabatan Kerja Raya Bahagian Miri (JKR).


Terdahulu, benteng sepanjang 100 meter yang dibina Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (Bahagian Miri) telah pun siap dua hari yang lalu.

Menurut Lee ketika ditemui pagi tadi semasa mengadakan lawatan ringkas ke Pantai Lutong, dua agensi tersebut (JKR dan DID Miri) berkerjasama dan diberi tangungjawab membina benteng hakisan di Pantai Lutong yang merangkumi kawasan sepanjang 240 meter.

Kos keseluruhan pembinaan menelan belanja sebanyak RM225,000.00 dan peruntukan kecemasan ini diluluskan pihak Kerajaan Negeri.

Datuk Lee (tengah) memeriksa benteng hakisan

“Usul membina benteng ini (gabion walls) tercetus susulan daripada kejadian air laut ketika fenomena air besar awal tahun ini menyebabkan air laut melimpahi jalan,” jelas Lee.

Beliau menjelaskan projek tersebut merupakan projek sementara untuk menyelamatkan kawasan pantai yang terhakis.

“Pihak DID (pengairan dan saliran bahagian Miri) telah pun membuat kertas cadangan untuk pembinaan benteng menggunakan kaedah ‘Rock Revetment wall’ di sepanjang kawasan pantai Lutong yang terhakis sebagai penyelesaian jangka masa panjang, dan kertas cadangan ini akan dihantar ke pihak DID Sarawak untuk kelulusan,” ujar Lee.

Dalam lawatan ringkas itu semalam, Lee turut ditemani Jurutera Pengairan dan Saliran bahagaian Miri Hiew Si Tien dan Jurutera JKR bahagian Miri Chong Chi Fam. — DayakDaily