Peruntukan RM1.42 juta makanan untuk 16,000 isi rumah di kawasan PKP Kapit dan Song

AwangTengah (tengah) pada sidang media di Wisma Sumber Alam. Turut kelihatan Fatimah(dua dari kiri) dan Liwan(dua dari kanan)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 2 Feb: Seramai 16,000 isi rumah yang terjejas di Kapit dan Song akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan menerima bantuan keperluan makanan dari kerajaan mulai 4 Februari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pengagihan makanan ini akan melibatkan kawasan di Dewan
Undangan Negeri (DUN) Pelagus, Katibas, Bukit Goram dan Belaga (Nanga Merit).


Awang Tengah selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan Covid-19 memaklumkan bantuan tersebut melibatkan peruntukkan sebanyak RM1.42 juta termasuk kos pengangkutan.

“Setiap isi rumah akan menerima bantuan makanan berjumlah RM70 secara ‘one off’ dan diagihkan secara berperingkat.

“Kita akan bekalkan jenis-jenis makanan perlu seperti beras, gula, tepung, kopi atau teh peket, biskut kering, mi segera, minyak masak dan sardin dalam tin semasa tempoh PKP ini,” katanya pada sidang media di Wisma Sumber Alam di sini, hari ini.

Tambah Awang Tengah, dana akan disalurkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Bahagian (JPBPB) Kapit dan akan disokong
oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kapit dan Song.

Katanya, pengedaran makanan akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan Daerah dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang lain.

Sementara itu, Awang Tengah berkata pihaknya telah meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian untuk mengenal pasti kawasan
terjejas, di mana ada antara bantuan mungkin akan dihantar menggunakan jalan sungai.

“Kita telah berbincang untuk melihat kawasan-kawasan yang memerlukan helikopter serta perahu untuk penghantaran bantuan makanan.

“Tanggungjawab kita adalah untuk memastikan proses pengedaran bantuan makanan ini berjalan dengan lancar,’ ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau juga telah mendapat jaminan daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) bahawa stok makanan pada masa ini adalah mencukupi.

Turut hadir pada sidang media Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Kelurga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri
Fatimah Abdullah, Menteri Muda Utiliti Datuk Liwan Lagang dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohamad Abu Bakar Marzuki. -DayakDaily