Dua remaja lelaki ditemui mati lemas

Pasukan SAR mengangkat mayat mangsa yang ditemui mati lemas.

MARUDI, Jun 23: Mayat dua remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing bersama datuknya di Jeti Sungai Baram di sini semalam ditemui mati lemas di sungai berkenaan hari ini.

Semalam mayat datuk kepada kedua-dua mangsa itu, Sujai Jaraee, 72, telah ditemui dalam keadaan terapung di tepi bot ekspres di jeti tersebut.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mayat mangsa kedua, Mohd Zafril Wasli, 12, dijumpai pada pukul 1.03 petang.


Katanya, mangsa ketiga Mohd Alyee Ong Zulkifli, 14, pula ditemui oleh anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) tidak jauh dari lokasi mangsa kedua dijumpai.

Pasukan SAR menemui mayat mangsa yang lemas.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.20 petang selepas mayat mangsa dibawa ke Hospital Marudi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

DayakDaily semalam melaporkan keseronokan tiga beranak memancing ikan di Jeti Sungai Baram di sini berakhir tragedi apabila seorang datuk ditemui mati lemas, manakala dua cucunya dilaporkan masih hilang.

Mayat mangsa, Sujai berjaya ditemui terapung di tepi bot ekspres berhampiran jeti sungai tersebut kira-kira pukul 7.30 pagi. — DayakDaily