Pembinaan Markas Wilayah Laut 4 di Bintulu antara usaha kerajaan mendepani ketegangan di Laut China Selatan

Mohamad Hasan
Dato Seri Mohamad Hasan (file photo)
Advertisement

KUCHING, 16 Okt: Pewujudan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang baharu iaitu Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu antara usaha utama Kerajaan Persekutuan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut laporan TVS, Mohamad berkata, ia adalah bagi memastikan kesiagaan aset berada pada tahap yang optimum dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman keselamatan di perairan negara terutamanya di Laut China Selatan.

“Cadangan untuk mewujudkan Pangkalan TLDM yang baharu di Sarawak adalah hasil penilaian strategik berpusat kepada dua perkara utama iaitu melindungi kepentingan sumber negara serta mempertahankan kedaulatan negara daripada insiden pencerobohan asing.

Advertisement

“Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah membangunkan pelan pembangunan keupayaan domain laut bagi memperkasakan keupayaan pertahanan dan kapasiti ATM dalam mencegah sebarang bentuk ancaman di kawasan perairan negara terutamanya di Laut China Selatan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya menerusi jawapan lisan yang dipaparkan di laman web rasmi Parlimen Malaysia.

Terdahulu, Ahli Parlimen Serian Dato Sri Richard Riot Jaem membangkitkan itu berkenaan mengenai usaha kerajaan sebagai persediaan mendepani ketegangan yang semakin meningkat di Laut China Selatan.

Tambah Mohamad, MINDEF turut menjadikan pengukuhan diplomasi pertahanan secara dua hala dan pelbagai hala sebagai salah satu strategi dalam memastikan keselamatan negara dan kestabilan serantau.

“Ini termasuk memanfaatkan kedudukan dan penglibatan kita dalam ASEAN khususnya melalui libat urus secara konstruktif dengan rakan sejawat melalui platform kerjasama pertahanan dua hala dan pelbagai hala seperti ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) dan ADMM Plus dalam mengendalikan isu-isu keselamatan termasuk keselamatan maritim di Laut China Selatan,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement