Pembinaan kampus Centexs Lundu mengikut jadual, dijangka siap tahun hadapan

Jamilah (kiri) menyaksikan pelajar sekolah mendapatkan maklumat mengenai peluang pendidikan,latihan dan bantuan pendidikan di jelajah PRO-DR Siri Ke-5 2019 di Dewan Masyarakat Lundu, Pekan Lundu.

LUNDU, Mac 26: Projek pembinaan kampus Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) Lundu yang mampu menampung seramai 300 hingga 400 pelajar ketika ini sedang berjalan lancar dan dijangka akan dapat disiapkan mengikut jadualnya tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata projek kampus seluas 70 ekar itu setakat ini sudahpun dianggarkan hampir 30 hingga 40 peratus siap pembinaannya.

“Projek itu setakat ini sudah hampir 30 hingga 40 peratus siap sekarang dan saya difahamkan akan dapat disiapkan dalam masa setahun lagi, dan ketika ini pembinaannya sedang berjalan dengan baik,” kata beliau selepas merasmikan jelajah ‘Project Of Dreams Realized’ (PRO-DR) Siri Ke-5 2019 di Dewan Masyarakat Lundu, Pekan Lundu, di sini, semalam.


Jelajah pendidikan terbesar Sarawak tersebut yang disertai keseluruhannya sebanyak 45 institusi dan agensi adalah anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Bumiputera Sarawak (TEGAS) yang bermula dari Pekan Lundu sehingga ke Lawas selama tiga minggu.

Jelajah itu bagi menyampaikan maklumat mengenai peluang pendidikan,latihan dan bantuan pendidikan kepada belia dan pelajar di negeri ini terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Jamilah berkata kampus Centexs Lundu akan mampu menampung seramai 300 hingga 400 pelajar setelah disiapkan dan akan mengantikan kampus sementara Centexs Lundu yang ketika ini hanya boleh mengambil maksima seramai 50 orang pelajar sahaja bagi mengikuti kursus kemahiran Centexs yang selama tiga hingga enam bulan.

“Setelah siapnya projek kampus Centexs Lundu itu nanti, juga lebih ramai belia dari Lundu, Bau dan Sematan berpeluang mengikuti kursus kemahiran Centexs dan tidak perlu lagi berulang-alik ke kampus Centexs lain yang jauh di Kuching,” katanya.

Beliau tidak dapat mendedahkan butiran kos projek kampus Centexs Lundu tetapi ianya dibiayai sepenuhnya kerajaan Sarawak dan menjangkakan kampus akan banyak menawarkan kursus kemahiran yang berkaitan teknologi digital.

“Di sini (DUN Tanjung Datu) juga ada kegiatan pelancongan eko jadi kursus berkaitan hospitaliti juga lebih difokuskan (di kampus Centexs Lundu) selain berkaitan pembinaan dan katering makanan,” katanya.

Projek pembinaan kampus Centexs Lundu telah dirasmikan bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tok Nan atau Pehin Sri Adenan Satem dengan majlis pecah tanahnya pada Ogos 5, 2015. — DayakDaily