Pembinaan jambatan penghubung pelengkap Jalan Pesisir Pantai, sekaligus tingkatkan ekonomi penduduk setempat

Abang Johari (tiga dari kiri) bersama pemimpin GPS yang lain di Majlis Pecah Tanah Jambatan Rambungan, Lundu pada November 2019.
Advertisement

Advertorial

Inisiatif kerajaan negeri Sarawak melalui pembinaan tujuh jambatan utama menjadi pelengkap kepada projek jalan pesisir pantai sepanjang 900km yang dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

Ia merupakan komitmen Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ‘Demi Rakyat Sarawak’ sebagai meneruskan agenda membangunkan kawasan di pesisir pantai dan luar bandar.

Advertisement

Projek tersebut merupakan sebahagian daripada 81 inisiatif Abang Johari semenjak dilantik sebagai Ketua Menteri pada 13 Januari 2017.

Kesemua jambatan ini akan menggantikan tujuh kemudahan feri iaitu di Batang Rambungan, Batang Lupar, Batang Saribas, Sungai Krian, Batang Paloh, Muara Lassa dan Batang Igan.

Paling penting, pembinaan jambatan ini akan memastikan kawasan pesisir pantai dan luar bandar dibuka untuk pembangunan.

Pembinaan jambatan memudahkan kehidupan seharian penduduk tempatan

Tinjauan DayakDaily di Pengkalan Feri Batang Rambungan baru-baru ini mendapati pengguna jalanraya masih memilih untuk menggunakan kemudahan itu.

Menurut Eddy Mutalib, seorang peniaga hasil pertanian dari Kampung Sungai Cina di Lundu, laluan feri Batang Rambungan merupakan satu-satunya alternatif bagi penduduk Lundu untuk ke Bandaraya Kuching.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah melaksanakan projek Jambatan Batang Rambungan yang akan siap dalam tempoh 3 tahun dari sekarang.

“Siap kelak, jambatan akan memudahkan kami untuk bergerak ke Kuching terutamanya untuk kes-kes kecemasan seperti ibu bersalin dan sakit tenat sebab Hospital Lundu memang terhad.

“Kadang-kadang, tempoh perjalanan ke Kuching lebih pendek jika dibandingkan ke Lundu,” katanya.

Tambah Eddy, 37, jambatan akan mengurangkan 40 minit tempoh perjalanan jika dibandingkan dengan kemudahan feri.

Di samping itu, katanya, para peniaga dari Lundu boleh memasarkan hasil pertanian seperti buah durian, kelapa, kelapa sawit dan rambutan ke Kuching terutamanya ke Kubah Ria di Petra Jaya.

“Inilah satu bentuk perubahan yang saya nampak dengan kehadiran jambatan penghubung ini.

“Sesuatu yang akan mengubah ekonomi penduduk setempat dan seterusnya menaikkan taraf kehidupan rakyat,” kata Eddy.

Jalan penghubung peransang aktiviti ekonomi

Turut berkongsi kegembiraan dengan pembinaan Jambatan Batang Rambungan adalah Tody Haidil, 41, yang berasal dari Kampung Rambungan.

Beliau berkata projek tersebut adalah sesuatu yang dinantikan penduduk sekitar.

Berucap pada Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Rambungan pada November 2019 lepas, Abang Johari berkata siap kelak ia akan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat.

“Jalan penghubung ini akan merangsang aktiviti ekonomi yang memberi manfaat kepada penduduk selain membantu merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

“Usaha ini memperlihatkan komitmen kerajaan negeri membawa kemajuan kepada seluruh rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau percaya melalui sistem perhubungan yang cekap ini, ia akan mewujudkan akses kepada kemajuan di kawasan pesisir pantai dan luar bandar.

Melalui usaha itu, katanya, perhubungan rakyat bukan sahaja lebih lancar tetapi juga memudahkan mereka untuk membawa keluar hasil pertanian dan perikanan.

“Pertumbuhan sosioekonomi setempat ini seterusnya meningkatkan taraf hidup penduduk,” ujar Abang Johari.

Projek pembinaan Jambatan Batang Lupar membabitkan nilai RM 1 bilion, Jambatan Batang Rambungan (RM98.5 juta), Jambatan Kuala Kemena, Bintulu (RM467 juta), dan Jambatan Batang Lassa, Mukah (RM597.58 juta).

Jambatan Batang Saribas di Betong pula membabitkan nilai RM496 juta, Jambatan Batang Krian, Betong (RM174 juta) dan Jambatan Batang Paloh di Mukah (RM298.98 juta).

Membina Jalan Utama Kedua dan melengkapkan tangkaian Jalan Pesisir Pantai

Laluan Jalan Pesisir Pantai dan Jalan Utama Kedua.

Jambatan Batang Rambungan dan Jambatan Batang Igan pada asalnya merupakan projek kerajaan persekutuan tetapi kini ia diteruskan oleh kerajaan Sarawak.

Manakala Jambatan Batang Lupar yang pada asalnya merupakan perkongsian 50:50 dengan kerajaan persekutuan juga telah dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.

Dana untuk pembinaan tiga jambatan itu yang sebelum ini diluluskan kerajaan pusat terdahulu (Barisan Nasional) ditarik balik oleh kerajaan pusat yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

Kerja-kerja di tapak untuk kesemua projek ini sudah bermula kecuali Jambatan Batang Lupar sepanjang 5.1km yang kini pada peringkat rekabentuk.

Tawaran tender untuk projek tersebut yang dibiayai sepenuhnya kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan dibuka awal tahun ini.

Dalam pada itu, majlis pecah tanah untuk Jambatan Kuala Kemena, Jepak di Bintulu telah dilakukan pada 22 Julai 2019 dan Jambatan Muara Lassa pada 8 September 2019.

Jalan Pesisir Pantai yang bermula dari Sematan di Lundu akan menghubungkan bandar-bandar seperti Kota Samarahan, Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Kabong, Tanjung Manis, Daro, Matu, Igan, Oya, Mukah, Balingian, Bintulu dan Miri ke Lebuh Raya Pan Borneo.

Thomas Labun

Bagi Thomas Labun, 39, yang berasal dari Kali Kaba, Saratok, jambatan penghubung di setiap kemudahan feri adalah satu berita gembira buat semua pengguna laluan tersebut.

Beliau yang sentiasa menggunakan laluan itu dari Kuching ke Saratok pada musim perayaan dan untuk keperluan lain berkata ia bakal memberi keselesaan kepada semua.

Katanya, pergerakkan trafik terutamanya di musim perayaan akan lancar dan menjimatkan tempoh perjalanan dengan tanpa beratur di feri lagi.

“Selain itu, jambatan ini nanti akan memudahkan pekebun-pekebun kecil sawit untuk menjual buah sawit terus ke kilang.

“Ini sudah tentu membantu menambah pendapatan pekebun-pekebun kecil dan memberi ransangan kepada mereka untuk bekerja lebih keras dengan membesarkan kebun sawit,” katanya.

Selain Jalan Pesisir pantai, kerajaan Sarawak juga turut melaksanakan Projek Jalan Utama Kedua.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November 2019, jalan tersebut akan memendekkan tempoh perjalanan dari Kuching ke Sibu daripada lima jam kepada 2.5 jam dengan jarak 235km apabila siap kelak.

Katanya, Jalan Utama Kedua ini akan menghubungkan Kuching dan Sibu dengan Lebuh Raya Pan Borneo melalui Jalan Sebuyau-Sri Aman-Betong.

Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan turut memaklumkan yang Projek Jalan Pesisir Pantai sedang menjalani proses tender.

Sementara projek Jalan Utama Kedua berada di peringkat reka bentuk dan dijangka akan ditender pada awal tahun ini.

Membina jambatan baharu:

  • Jambatan Lassa (Mukah)
  • Jambatan Batang Rambungan (Lundu)
  • Jambatan Bintulu-Jepak (Kuala Kemena, Bintulu)
  • Jambatan Batang Lupar (Samarahan/Betong)
  • Jambatan Batang Igan (Mukah)
  • Jambatan Batang Rajang
  • Jambatan Batang Paloh
  • Jambatan Batang Saribas (Pusa)
  • Jambatan Batang Kuala Saribas
  • Jambatab Batang Lupar 2
  • Jambatan Batang Krian
  • Jambatan Sungai Limbang

— DayakDaily

Advertisement