Dr Chin: Tiada kes disahkan positif Covid-19 di Hospital Miri

Medicine and healthcare. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Feb 17: Tiada kes disahkan positif Covid-19 di Hospital Miri setakat semalam, Februari 16.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing berkata, Hospital Miri telah menerima sebanyak 16 kes ‘Patient Under Investigation’ (PUI) bagi jangkitan penyakit Covid-19 setakat tarikh itu.

“Jumlah ini melibatkan seramai 14 warganegara Malaysia dan masing-masing seorang warganegara China dan seorang warganegara Kanada.


“Daripada jumlah tersebut, seramai 14 kes PUI telah didapati negatif ujian makmal, manakala, dua orang lagi masih menunggu keputusan,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Tambah Dr Chin, seramai sepuluh kes PUI telah dibenarkan pulang setelah didapati sihat dan ujian makmal bagi ujian kali kedua juga didapati negatif.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi sepanjang masa dan menggunakan penutup hidung dan mulut.

“Orang ramai juga diingatkan agar segera mendapatkan rawatan sekiranya demam, atau mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk atau kesukaran untuk bernafas dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan ke Negara China.

“Maklumkan sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat,” katanya.

Semua pengamal perubatan, sama ada dari fasiliti kerajaan atau swasta hendaklah segera melaporkan kes-kes yang disyaki Covid-19 kepada Pejabat Kesihatan Bahagian atau Daerah yang terdekat, atau kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) — DayakDaily