Pembinaan jambatan baru untuk Kpg Subek sudah disenarai dalam RTP, kata ADUN Lambir

Ripin meninjau keadaan jambatan usang di Kampung Subek, Lambir.

KUCHING, Feb 11: Sebuah jambatan baru untuk mengganti jambatan usang menuju Kampung Subek di Lambir akan dibina dalam masa terdekat.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat, pembinaan jambatan baru di kampung berkenaan telahpun tersenarai dalam ‘Rural Tranformation Programme’ (RTP) bagi tahun 2018 dan 2019 DUN Lambir.

Namun demikian, beliau berkata terdapat sedikit kelewatan dalam pelaksanaan projek itu disebabkan perubahan spesifikasi projek dan permintaan tambahan, yang dimohon penduduk kampung. Jambatan itu akan dibina dengan struktur yang boleh diguna kenderaan sehingga seberat 3 tan.


Ripin juga menjelaskan bahawa jalan di kampung tersebut akan dinaiktaraf setelah jambatan baru siap kelak dan boleh dilalui oleh lori tar dan mesin pelantar.

Isu berkenaan timbul setelah penduduk kampung tersebut telah membuat aduan kepada Anggota Jawatankuasa Exco Wanita PKR, Zulhaidah Suboh berhubung perkara tersebut. — DayakDaily