Pembinaan Fasa 4 Taman Tebingan Sungai Batu Kawa siap — Dr Sim

Dr Sim (tiga dari kiri) pada lawatan ke Projek Taman Tebingan Sungai Batu Kawa Fasa 4.
Advertisement

KUCHING, 27 Jun: Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian hari ini mengadakan lawatan kerja ke Projek Taman Tebingan Sungai Batu Kawa.

Projek Fasa 4 yang dibiayai kerajaan persekutuan ini sudah siap pembinaan dan sedia untuk dirasmikan.

“Taman Tebingan Sungai Batu Kawa (Fasa 4) ini menyediakan pelbagai kemudahan termasuk taman permainan untuk kanak-kanak.

Advertisement

“Selain itu, persekitarannya dihiasi dengan tumbuhan tanah bencah dan beberapa pokok buah-buahan bagi tujuan pembelajaran,” kata Dr Sim di dalam catatan Facebook rasminya.

Menurut beliau yang juga Adun Batu Kawa, projek bagi fasa 4 tersebut telah diluluskan semasa kerajaan Barisan Nasional (BN), namun diletakkan di bawah status dipertimbangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, ia kemudiannya memulakan pembinaan setelah kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pemerintahan.

Dalam pada itu, Dr Sim yang juga Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan memaklumkan Fasa 5 dan Fasa 3 Projek Taman Tebingan Sungai Batu Kawa juga sedang giat dilaksanakan.

Ujar beliau, Fasa 5 yang melibatkan kerja menahan hakisan tebingan Kampung Rantau Panjang yang bernilai RM11.3 juta sudah bermula setelah pelantikan kontraktor yang baharu.

Manakala Fasa 3 adalah melibatkan pembinaan kemudahan sukan kepada para belia dan kawasan letak kereta di bawah Jambatan Batu Kawa yang dianggarkan bernilai RM5 juta. — DayakDaily

 

Advertisement