Pembidaan untuk nombor plat kenderaan mengunakan nama UNIMAS dibuka

Mohamad Kadim Suaidi (kiri) menyerahkan nombor plat kenderaan UNIMAS 8 milik universiti itu kepada Sulong untuk mencari pembelinya selepas pelancaran Sistem Bidaan UNIMAS8 di Rumah Universiti, Kampus Unimas, hari ini (1 Julai 2020).

KOTA SAMARAHAN, 1 Julai: Unimas telah melancarkan pembidaan untuk nombor plat kenderaan yang mengunakan nama universiti itu bermula jam 12 tengahari hari ini.

Pelancaran bidaan nombor terbabit yang boleh digunakan kenderaan dijalan raya mengunakan Sistem Bidaan UNIMAS8 telah dilancarkan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Tan Sri Panglima Sulong Matjeraie di Rumah Universiti, Kampus Unimas, di sini.

Harga terendah bidaan tersebut yang akan ditutup tujuh hari lagi ialah dari RM350 sehingga RM6,000 mengikut kategori nombor plat kenderaan iaitu semasa, istimewa, popular 4-digit, popular 3-digit, popular 2-digit dan menarik.


Sejurus pelancarannya Naib Canselor Unimas, Professor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi menjadi pembida pertama nombor plat kenderaan itu dengan pilihannya ialah UNIMAS 88.

Mohamad Kadim berkata ini adalah julung kali Unimas mengadakan pembidaan nombor plat kenderaan mengunakan nama universiti itu dan menjadi universiti awam ketiga mengadakannya di negara ini.

“Kita membuka bidaan nombor plat UNIMAS 10 hingga 9999. Dimaklumkan nombor terbabit dari 1 hingga 9 adalah disimpan untuk kegunaan universiti. Ataupun ada siapa jutawan kalangan alumni Unimas yang mahu nombor satu digit ini bolehlah diberikan kepadanya dengan satu harga tertentu dan itu perancangan kita,” katanya.

Sulong (tiga dari kiri) menyaksikan Mohamad Kadim menbuat bidaan bagi plat nombor kenderaan UNIMAS 88 melalui Sistem Bidaan UNIMAS8 di Rumah Universiti, Kampus Unimas.

Katanya salah satu tujuan bidaan nombor plat kenderaan itu ialah untuk mewujudkan sumber pendapatan kepada universiti bagi menampung kos operasinya dan lebihan wang dikutip dari bidaan itu juga akan digunakan bagi membantu pelajar Unimas yang memerlukan bantuan kebajikan.

“Kita mempelawa semua alumni Unimas membida nombor plat kenderaan ini. Kita ada sekitar 52,000 graduan sejak konvokesyen pertama pada 1997 sehingga tahun lepas,” kata Mohamad Kadim, sambil menambah universiti itu melahirkan sekitar 4,000 hingga 4,500 graduan pada majlis konvokesyennya setiap tahun.

Selain itu, pihaknya juga mempelawa kakitangan universiti itu ketika ini ataupun yang sudah bersara untuk membida untuk nombor plat kenderaan terbabit dan juga orang ramai yang berminat dengan nombor itu yang unik.

Mereka yang berminat membida nombor plat kenderaan itu bolehlah menghubungi Dayang Nor Hajijah Awang Daud di 082-581231 / 581918 atau melayari www.unimas.my/unimas8 untuk mendaftar proses bidaan dan sebarang persoalan boleh diemelkan ke unimas8@unimas.my. — DayakDaily