Pembesaran Lapangan Terbang Miri akan tarik banyak lagi penerbangan antarabangsa

Dato Sri Lee Kim Shin. Foto: Ukas
Advertisement

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 30 Sept: Pembesaran Lapangan Terbang Miri dijangka akan menarik lebih banyak penerbangan antarabangsa ke Miri, kata Menteri Pengangkutan (MOTS) Dato Sri Lee Kim Shin.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Lee berkata ini termasuk penerbangan dari Singapura dan China.

Advertisement

“Lapangan Terbang Miri kini hanya mampu menampung dua juta penumpang setahun, namun pada tahun 2019 sahaja, jumlah penumpang telah hampir mencecah 2.5 juta.

“Oleh itu, cadangan pembesaran ini akan meningkatkan kapasiti lapangan terbang Miri kepada empat juta penumpang setahun,” kata Lee.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai kelulusan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Miri di sini pada Ahad (29 Sept).

Dengan adanya terminal yang lebih besar dan moden, tambah Lee, Bandaraya Miri akan bersedia menerima lebih banyak penerbangan antarabangsa.

Ia juga akan merancakkan lagi industri pelancongan dan juga ekonomi setempat.

Jelas beliau, Kementerian Pengangkutan Sarawak akan bekerjasama sepenuhnya dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) persekutuan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk melancarkan projek pembesaran Lapangan Terbang Miri.

“Manakala, jumlah yang dikemukakan MAHB untuk projek pembesaran ini ialah sebanyak RM150 juta dan jangkaan projek tersebut dilaksanakan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

“Projek ini penting bagi bandar Miri yang semakin berkembang sebagai pusat peranginan, terutamanya dengan dua Tapak Warisan Dunia (UNESCO) di Miri iaitu Taman Negara Mulu dan Gua Niah.” — DayakDaily

Advertisement