Pemberian khas kewangan kepada Sarawak belum ada keputusan, kata Sharifah Hasidah

Sharifah Hasidah (tengah) menerima cenderamata dari Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ik Pahon Joyik selesai ucapan di Bicara Intelektual-MA63.

Oleh Chris Bishop

BAU, 7 Dis: Kerajaan persekutuan sehingga kini masih belum membuat keputusan berhubung semakan pemberian khas kewangan kepada Sarawak.

Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata semakan semula tersebut telah dipersetujui pada Mesyuarat JawatanKuasa Khas Kabinet (Pemandu) November lepas.


Mesyuarat adalah untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.

“Pemberian khas ini masih lagi di dalam perbincangan dan semakan semula ini telah dipersetujui kerajaan pusat bersama kerajaan negeri.

“Draf pemberian khas dari kerajaan negeri telah diserahkan kepada kementerian kewangan dan sehingga kini masih belum ada keputusan diberikan kepada Sarawak,” katanya pada ucapan di ‘Bicara Intelektual-MA63’ yang diadakan di Dewan Suarah Bau, hari ini.

Tambah beliau, pemberian khas RM32 juta untuk Sarawak dan Sabah yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pada pembentangan Bajet 2020 Oktober lepas telah ditolak kerajaan Sarawak.

Katanya, pemberian khas tersebut ditolak kerana Lim telah membuat keputusan bersendirian tanpa berbincang terlebih dahulu dengan Sarawak.

“Dia (Lim) membuat keputusan bersendirian dengan tanpa berbincang dengan kita dan oleh yang demikian pemberian khas seperti yang diumumkan pada Bajet 2020 kita tolak,” katanya.

Berhubung janji pilihanraya Pakatan Harapan untuk memberikan bayaran royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus, Sharifah Hasidah berkata ia hanya tinggal janji kosong sahaja.

Tun Mahathir baru-baru ini, katanya, telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan persekutuan hanya mampu memberikan 5 peratus sahaja kepada Sarawak.

Disamping itu ujar Sharifah Hasidah, Petronas juga ada menawarkan kepada kerajaan negeri bayaran sebanyak 3 peratus sebagai wang ehsan dengan syarat Sarawak menggugurkan OMO 1958 dan tidak melaksanakan cukai jualan terhadap produk petroleum.

“Ini sesuatu yang kita (kerajaan negeri) tidak setuju dan ketua menteri telah membalas dengan menghantar surat untuk memaklumkan dengan jelas dan tegas bahawa cukai jualan tetap akan dilaksanakan.

“Pelaksanaan cukai jualan itu adalah hak kita di bawah perlembagaan dan perkara kedua kita minta ia mesti dibayar pada penghujung tahun ini.

“Ketiga, kita boleh turunkan kadar 5 peratus jika Kerajaan Persekutuan setuju untuk membayar ganti rugi kepada Sarawak dan yang keempat, sifar cukai jualan adalah tidak diterima,” ujar Sharifah Hasidah.

Pada Mesyuarat Pemandu November lepas, jawatankuasa khas ini juga bersetuju berhubung isu bayaran royalti dan pembayaran tunai bagi petroleum dan gas akan dibincangkan secara berasingan antara perdana menteri dan ketua menteri Sarawak dan Sabah pada Disember ini. — DayakDaily